Friday, October 14, 2011

BERAKHIRNYA PERJUANGAN TRW UNTUK MUSIM 2011

Perjuangan Kelantan atau sinomin dengan gelaran 'The Red Warriors" untuk mempertahankan Piala Malaysia menemui noktah apabila disingkirkan oleh pasukan Trengganu melalui agreggate 3-5 semalam dalam saingan  Suku Akhir Piala Malaysia 2011.  Tahniah diucapkan kepada Trengganu yang dipimpin oleh Irfan Bakti.  Ironinya,  Irfan adalah bekas pemain Kelantan dan pernah menjadi penolong jurulatih sewaktu tugasan pertama Datuk M.Karathu melatih Kelantan tahun 1993.  Menanti Trengganu di separuh akhir ialah Selangor yang bertekad menjayakan "Missi 33".

Untuk saingan kedua di Kota Bharu, percaturan Karathu terganggu apabila 3 pemain tunggak, Daudsu Jamaluddin, Mohd Shakir Shaari & Abd Aziz Ismail terpaksa disishkan kerana layangan 3 kad merah yang mereka terima sewaktu pertempuran pertama di Kuala T.rengganu.  Sebagai ganti, Kelantan terpaksa menagih khidmat Khairan Izuan Razali dan Wan Zaman Mustapha yang jarang diturunkan musim ini, serta S.Chanturu, yang tahap kecergasannya diragui.  Kurang efektifnya dua pemain pertama yang aku coretkan ini dapat disaksikan apabila Zaman dikeluarkan di masa rehat & Khairan pula di awal separuh masa kedua akibat kekejangan otot.  Cuma sepakan Khairan yang tersasar sedikit sahaja dari pintu gol trengganu & umpanannya yang ditanduk tinggi oleh Azamuddin akil di awal permainan menunjukkan komitmen beliau.

Pada awal perlawanan Kelantan menunjukkan kerakusannya mencari gol dengan melancarkan serangan bagi mencari gol awal untuk tonik semangat.  Percubaan kapten, Badri Radzi@PIYA mencium palang gol Trengganu yang dikawal Sharbinee Alwi.  Dalam leka menyerang, Trengganu yang sekali sekala mengasak akhirnya terlebih dahulu mendapat gol hasil jaringan Ashaari Shamsuddin di minit 18.  Ashari kemudiannya menjumpai gol lagi hasil serang balas mengejut pada minit ke 38 sesudah gerakan cantik bersama Abd Hadi Yahya & Abd Manaf Mamat, yang baru kematian ayahnya sehari sebelum perlawanan.

Apabila perancangan tidak menjadi dan pasukan semakin ketinggalan, nampak sangat tekanan untuk pemain-pemain Kelantan untuk melakukan 'miracle' mencari 5 gol untuk memenangi saingan ini.  PIYA, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya, Izuan Solihuddin, Ramzul Zahini Adenan buntu mencari jalan menembusi kubu pertahanan Trengganu yang mantap diketuai Marzuki Yusoff.  Tiada larian2 pantas yang dapat disaksikan untuk memecahkan tembok pertahanan Trengganu.  Sebaliknya, asyik-asyik melambung hantaran tinggi ke kubu lawan yang mudah ditangani oleh Marzuki dan Marlizam Mohammad.  Walau bagaimanapun, Azamuddin dan PIYA berjaya menghasilkan gol-gol penyamaan Kelantan untuk mengelakkan tuanrumah diaibkan di laman sendiri. 


Ramai mengharapkan Danial diturunkan malam tadi

Sepertimana aku pelik dengan tindakan Datuk K.Rajagopal menyisihkan pemain-pemain popular untuk perlawanan persahabatan menentang Australia, begitulah aku pelik dengan tindakan Karathu menyisihkan Danial Fadly Abdullah, Solihin Kanasian, Wan Rohimi Ismail dan Khalid Jamlus untuk tugasan sepenting ini.  Cukupkah mereka dijadikan sparring partner waktu latihan sedangkan permainan mereka bagus.  Amat malang pengalaman mereka tidak boleh ditagih untuk aksi segenting ini atas sebab konflik dalaman.  Difahamkan Danial & Solihin mempunyai masalah dengan pihak pengurusan.  Khalid lak tidak pasti samada kontraknya tidak disambung atau mengalami kecederaan. 

Aku tak pasti khidmat Karathu akan diteruskan untuk saingan musim depan.  Pilihan popular, B.Sathianathan yang menghadiahkan Piala Malaysia ke Bumi Cik Siti Wan Kembang terlebih dahulu beralih angin dengan menyertai pasukan berbajet besar, ATM musim depan.  Turut menyertai Sathia ke ATM ialah 2 bekas pemain kebangsaan, Kamaruddin Mohd Noor & Hamid Ramli.sebagai sebahagian staf kejurulatihan ATM.  Ada peminat nak lihat Peter James Butler, jurulatih BEC Tero Sasana(Thailand) kembali melatih Kelantan tapi tak pasti Butler seronok tinggal di Kota Bharu.

Berbalik kepada Danial, Solihin, Rohimi dan Khalid, tak pasti khidmat pemain-pemain pengalaman akan  disambung kontrak musim depan oleh KAFA. Tambahan pula musim depan kudrat pemain import boleh digunakan untuk Liga M.  Harus diingat, untuk saingan musim depan, Kelantan bukan sahaja terpaksa bergelut dengan saingan domestik tapi bersaing dalam kejohanan peringkat Asia.  Sudah tentu satu skuad yang berwajah baru dan mantap diperlukan.  Untuk saingan 2012, Kelantan masuk saingan domestik untuk mempertahankan Perisai Sumbangsih & kejuaraan Liga.  Sambil itu sudah pasti Kelantan mengidamkan untuk merangkul Piala Malaysia yang berprestij itu.  Sejak Piala FA dperkenalkan tahun 1990, belum pernah lagi Kelantan memenangi piala ini.  Hanya sekadar berpuashati menjadi naib juara kepada Selangor (2009) dan Trengganu tahun ini.

Sudah tentu ada beberapa pemain akan digugurkan musim depan.  Wan Zaman dan Khairan Eroza Razali dah beberapa musim bersama Kelantan tapi banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.  Dengan PIYA dijangka setia bersama Kelantan musim depan, tak pasti pula dengan Norshahrul@MAT YO samada nak beralih angin menyertai pasukan lain atau mencuba nasib bermain di liga luar negeri.  Begitu juga S.Subramaniam.  Cuma malam tadi penonton baru sedar akan kemampuan Rezal Fahmi Roshid mengambil sepakan percuma untuk Kelantan.  Percubaan dari sepakan percuma Rezal mencium tiang gol Trengganu.  Sekurang-kurangnya Rezal boleh jadi alternatif selain dari PIYA untuk mengambil sepakan percuma pada masa akan datang.

Tan Sri Anuar Musa, "Supremo" bolasepak Kelantan


Yang pasti sekiranya permainan Kelantan kemas dan comel, sudah tentu penyokong akan kasih kepada pasukan ini dan akan terus memenuhkan ruang Stadium Sultan Muhammad IV mahupun venue-venue lain.. Harap fenomena yang dicetuskan sejak Tan Sri Anuar Musa menerajui KAFA berterusan sampai bila-bila. Memandangkan KAFA bergerak sendiri tanpa sokongan kewangan kerajaan Negeri, sudah tentu sokongan dari pihak-pihak penaja dituntut untuk membiayai kewangan pasukan.  Ada cakap-cakap mengatakan Air Asia akan menaja pasukan TRW musim depan tapi ni cuma gossip-gossip bolasepak sahaja. . Harap pengurusan KAFA akan lebih dinamik lagi apabila diisi oleh Azman Ibrahim, pengurus pasukan TRW sejak 2009.

No comments:

Post a Comment